Resepi Mee Goreng Basah Simple Tapi Sedap
Mee goreng basah simple ni adalah menu utama kakak sulung Sis Dila bila kami satu family balik kelantan.
Pernah adik bongsu kami, dari Bangi lagi, dah order mee goreng basah kak long, padahal tuan yang nak makan tu belum bertolak balik Kelantan pun lagi. Memang sedap walaupun simple sahaja.
Pengerat kasih sayang kami adik beradik.
Kami adik beradik sangat rapat. Bila jumpa sure meriah dan riuh rendah dengan gelak tawa kami semua.
Tambah lagi bila ada abang-abang. Sesekali jumpa, sampai pagi berborak dan bercerita.
Dan mulalah berbagi hari dan masa, masing-masing menjemput pergi ke rumah untuk makan pagi, tengahari or malam. Rindunya nak balik kampung. Cepatlah habis PKP ni.
Berkat dari simpulan dan acuan kasih sayang dari maa dan abah, kami adik beradik sentiasa bersama dan satu hati. Sesekali bertelingkah tu, biasalah kan. Pemanis suasana, penghangat rasa.
Biarpun arwah abah sudah lama pergi meninggalkan kami sejak 2004, tapi setiap kali balik seakan terasa arwah abah tetap ada bersama.
Resepi mee goreng basah simple yang Sis Dila share ni, hasil dari percampuran resepi kak sulung dan Sis Dila sendiri.
Ini antara menu kesukaan anak-anak. Masa untuk masak tak sampai 20 minit pun.
Bila ibu masak mee ni, anak-anak sure makan sampai licin. Tak tinggal walau seurat mee pun.
Dalam mee goreng ni, Sis Dila tak letakkan garam langsung.
Sebab percampuran sos cili, sos tiram dan kicap sudah cukup sedap dan sempurna.
Seperti biasa, kalau goreng mee atau kuey teow, Sis Dila akan simpan kulit udang untuk di blend dan ambil airnya. Ni lah rahsia kesedapan yang ramai orang tak tahu dan malas nak buat sebab renyah sikit.
Jom, kita layan resepi mee goreng basah ini dan cara penyediaannya.
Kandungan
Resepi Mee Goreng Basah Simple Tapi Sedap
Bahan-bahan:
Bahan kisar
1 biji bawang merah besar
3 ulas bawang putih
1 biji tomato
5-6 tangkai cili kering ( ikut tahap kepedisan cili)
2 ketul ayam di potong dadu
8-10 ekor udang (buang kulit )
3 keping fishcake
minyak
Kangkung/sawi ( ikut suka)
2 peket mee- bilas dan toskan
Bahan sos
Sos cili
Kicap
sos tiram
Air tapisan kulit udang
Cara-cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar. Sis Dila suka pakai minyak sikit sahaja. Tumis bahan kisar sehingga menjadi sedikit pekat.
Masukkan ayam dan biarkan sehingga ayam masak dan kuah semakin pekat. Tutup sekejap supaya ayam cepat masak.
Kemudian masukkan fishcake, diikuti dengan sos tiram, sos cili dan kicap.
Biarkan seketika supaya bahan sos sebati dan meresap ke dalam isi ayam dan fishcake tadi.
Last sekali masukkan udang, mee dan sayur, diikuti air kulit udang yang sudah diblend dan tapis.
Tak perlu masukkan air. Air udang itu dah memadai. Penyedap rasa.
Kacau sehingga sebati dan kuah meresap ke dalam mee. Nah, dah siap mee goreng basah simple tapi sedap ni.
Jika anda suka pakai bermacam-macam jenis sos, bolehlah tambah. yang Sis Dila buat ni, simple sahaja. tapi rasa memang maveless!
Tips Dapur Sis Dila
-> Hidangkan panas-panas bersama perahan limau, tomato segar dan timun.